JUDUL: Tambah Duit Dengan Kerja Part-Time
PENULIS: Mohd Aliff Mohd Nor
PENERBIT: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.
Salam 1 Malaysia. Kembali bersua dalam Prebiu Buku KLfm.
Duit macam air, air sahaja bukan seperti duit. Pening kepala dengan bajet bulanan yang semakin menyusut? Ada nawaitu untuk menambah pendapatan tetapi tidak tahu bagaimana. Buku "Tambah Duit Dengan Kerja Part-Time" oleh Mohd Aliff Mohd Nor terbitan PTS Profesional mungkin yang anda cari.
Buku ini memberikan dimensi baharu bagi anda yang ingin mencari ruang dan peluang menambahkan duit poket. Dari proses sebelum mendapatkan sesuatu pekerjaan sambilan sehinggalah cara-cara bagi memberikan hasil pekerjaan terbaik menerusi pekerjaan sambilan tanpa sedikit pun menjejaskan produktiviti pekerjaan yang utama, semuanya dikongsi di dalam buku ini.
Di samping itu, penulis turut berkongsi cabaran-cabaran yang perlu dihadapi oleh bakal pekerja sambilan. Selain itu, buku ini turut memberikan hujah-hujah bernas bagi menangkis pelbagai tohmahan negatif yang melingkari pekerjaan sambilan itu sendiri. Sebagai contoh, faktor usia sama ada tua atau muda bukanlah penghalang utama bagi melakukan kerja sambilan. Huraian mengenai topik ini dibincangkan dengan lebih lanjut dalam buku "Tambah Duit Dengan Kerja Part-Time".
Buku ini turut menyimpan penyelesaian bagi menangani isu kenaikan harga barang masa kini. Jika media massa menyarankan agar masyarakat berjimat-cermat, buku ini pula memberikan panduan bagi melipat-gandakan pendapatan sedia ada di samping berkongsi panduan menjadi jutawan senyap melalui pekerjaan sambilan!
Buku ini sarat dengan pengalaman dan kisah benar daripada mereka yang pernah dan masih menjalankan pekerjaan sambilan. Setiap topik dalam buku ini dikaji dengan teliti dan kesemuanya disokong oleh kenyataan konkrit daripada buku-buku, keratan akhbar, temu bual dan laman web yang berkaitan tentang akta dunia pekerjaan, motivasi, bisnes, agama dan komputer.
Mengenai penulis, Mohd Aliff Mohd Nor, seorang penulis muda yang mempunyai satu pekerjaan sepenuh masa dan melakukan beberapa kerja part-time serentak. Antara pekerjaan sambilan yang beliau lakukan kini adalah menulis di salah sebuah majalah online dan membuat bengkel publisiti media percuma bagi membantu usahawan PKS di Malaysia. Pekerjaan utama beliau ialah mencurahkan khidmat sebagai penerbit rancangan di salah sebuah radio di bawah Jabatan Penyiaran Malaysia.
JUDUL : BELAILAH KALBU
PENULIS : DR. HM TUAH ISKANDAR AL-HAJ
PENERBIT : KARYA BESTARI GRUP BUKU KARANGKRAF
Buku kedua, BELAILAH KALBU oleh Dr HM Tuah Iskandar Al-Haj. Perjalanan hidup ini sememangnya sukar dijangka. Apapun cabaran datang menjengah, kalbu yang sentiasa dibelai dengan keimanan pasti akan sentiasa damai. Carilah kedamaian menerusi buku ini yang mengetengahkan beberapa aspek menarik dugaan dalam kehidupan seperti mengenali potensi tubuh anda, sucikan hati, bersihkan minda, tiga senario buat iktibar dan cerita orang sebagai remedi serta banyak lagi yang boleh dijadikan panduan demi membelai kalbu yang selalu diuji.
Ketahui selebihnya menerusi buku BELAILAH KALBU oleh pakar motivasi terkenal Dr. HM Tuah Iskandar Al-Haj terbitan Karya Bestari - Grup Buku Karangkraf.
Telefon 03-22825445 dan jadi pemanggi pertama dan kedua terpantas dan berikan kata laluan untuk anda memenangi kedua-dua buah buku yang diketengahkan minggu ini.
"Amalkan budaya membaca, sehari sebuah buku.. lebih lagi bagus"
- Disediakan dan diterbitkan oleh Julia. Dapatkan kata laluan pada 5 Julai jam 12.30tgh.
No comments:
Post a Comment