Monday, March 28, 2011

Prebiu Buku 29 Mac 2011


Tajuk Buku : HATI DAN BUDI

Penulis : MOHD NOR LONG

Terbitan : Grup Buku Karangkraf Sdn Bhd


Salam 1 Malaysia. Prebiu Buku KLfm tampil edisi ekstravaganza dengan empat buah buku diketengahkan minggu ini.

Sesungguhnya ilmu pengetahuan itu sangat penting dalam memartabatkan diri menjadi insan yang cemerlang dan dihormati. Walaubagaimanapun masih ada juga insan yang dahagakan pelajaran namun terpaksa melupakannya dek kerana kesusahan dan bebanan keluarga yang dialaminya. Segalanya terkandung dalam novel HATI DAN BUDI oleh Mohd Nor Long terbitan Grup Buku Karangkraf Sdn Bhd.

Mengisahkan mengenai Midi yang diberhentikan sekolah seawal usianya tiga belas tahun demi membantu ibu bapanya mencari rezeki. Dia percaya nasib keluarganya sukar untuk diubah kelak. Berbekalkan tulang empat keratnya itu, dia berjaya mendapat pekerjaan sebagai kedi di padang golf milik seorang lelaki bernama Hashim. Sepanjang Midi berkhidmat bersamanya, dia melihat remaja ini mempunyai kecerdasan dan kebijaksanaan yang sungguh mengkagumkan. Hashim sedar pelajaran sangat penting untuk Midi bagi menjamin masa depan dirinya dan keluarganya memandangkan usianya yang masih muda. Adakah Hashim berjaya membantu Midi mencapai cita-citanya dan adakah Midi menghargai pengorbanan yang diberikan Hashim kepadanya? Ikuti kesudahannya dalam buku HATI DAN BUDI oleh Mohd Nor Long terbitan Grup Buku Karangkraf Sdn Bhd.

Tajuk Buku : KUASAI BISNES DENGAN PETA MINDA

Penulis : TONNY WINDURA

Terbitan : PTS Professional Publishing Sdn Bhd


Setiap insan pastinya mendambakan kejayaan yang cemerlang dalam setiap bisnes yang diceburinya. Setiap wang yang dilaburkan pastinya mengharapkan pulangan ganjaran yang berlipat ganda. Namun begitu kejayaan tak datang bergolek dengan sendirinya tanpa usaha dan pengorbanan. Segalanya bakal terungkai menerusi buku KUASAI BISNES DENGAN PETA MINDA oleh Tonny Windura terbitan PTS Professional Publishing Sdn Bhd. Sesungguhnya kebijaksanaan menggunakan minda adalah penting dalam diri seseorang itu. Terdapat peta minda yang telah dicipta oleh Tony Buzan pada awal tahun 1970-an. Ianya merupakan teknik yang paling efisien bagi menyimpan, mengembang dan mengeluarkan data dari otak kita. Banyak faedah yang boleh diperolehi menerusi buku ini disamping dapat melihat bagaimana otak kita berfikir secara semula jadi. Hendak tahu dengan lebih mendalam lagi bagaimana menguasai bisnes menerusi peta minda dengan lebih efektif lagi. Ikuti segala maklumat yang terkandung dalam buku KUASAI BISNES DENGAN PETA MINDA oleh Tonny Windura terbitan PTS Professional Publishing Sdn Bhd.


Tajuk Buku : RAHSIA CINTA TIGA SEGI MUHAMMAD

Penulis : MUHAMMAD HASAN AL-BASRI

Terbitan : PTS Millennia Sdn Bhd


Betapa syahdunya apabila setiap kali menyambut Maulud Nabi, kita pasti akan mengenangkan keindahan dan kebesaran junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Sesungguhnya sejarah dan kisah-kisahnya memperjuangkan agama Islam sangat indah untuk ditatapi dan dihayati oleh lapisan masyarakat hari ini. Nilai murni dan sifat kepimpinan yang tinggi dapat dilihat menerusi buku RAHSIA CINTA TIGA SEGI MUHAMAD oleh Muhammad Hasan Al-Basri terbitan PTS Millennia Sdn Bhd. Mengisahkan mengenai bagaimana kisah hidup baginda rasulullah menyebarkan dakwahnya sesama manusia sehinggalah kepada perjalanannya bertemu Tuhan di langit. Dalam pada itu dapat dilihat kehebatan, keberanian memperjuangkan Islam, kepada kelembutan, kesabarannya dan keterbukaannya dengan keluarga, teman bahkan kepada lawannya. Buku ini banyak memberi manfaat kepada kita semua kerana tauladan baginda rasulullah boleh dijadikan panduan hidup yang sangat berguna. Hendak tahu lebih mendalam lagi mengenai kepimpinan baginda rasulullah. Ikuti dengan mendalam lagi dalam buku RAHSIA CINTA TIGA SEGI MUHAMAD oleh Muhammad Hasan Al-Basri terbitan PTS Millennia Sdn Bhd.


Tajuk Buku : BIARKAN AKU MERINDU

Penulis : LILY SURIANI

Terbitan : Grup Buku Karangkraf Sdn Bhd


Setiap insan pastinya mengharapkan untuk dibesarkan dengan kasih sayang yang cukup daripada keluarga mereka. Namun tidak semua insan bernasib baik memilikinya kerana konflik dalaman dalam sesebuah keluarga itu sendiri. Ini dapat dilihat menerusi novel BIARKAN AKU MERINDU oleh Lily Suriani terbitan Grup Buku Karangkraf Sdn Bhd. Mengisahkan mengenai Puteri Anntasya yang hidupnya tidak seindah seorang puteri. Hanya tujuh tahun dia ditatang bagai minyak yang penuh namun akhirnya dia tercampak ke istana rindu yang membuatkan dia begitu terasing.


Konflik hubungan antara ayah dan ibunya membuatkan hidupnya tidak seindah gadis-gadis lain. Ibunya berhempas pulas membesarkannya tanpa kehadiran ayahnya di sisi. Kegagalan rumah tangga ibu bapanya telah memberikan kesan negatif kepada persepsi Anntasya terhadap institusi perkahwinan. Dia seakan tidak yakin dengan lelaki-lelaki yang mendampinginya dan lebih-lebih lagi yang mengajaknya untuk melayari bahtera perkahwinan. Adakah persepsi Anntasya kembali berubah terhadap lelaki yang mendampinginya? Dan adakah ayahnya menyesal terhadap perbuatan yang telah dilakukan kepada keluarganya? Ikuti kesudahannya dalam novel BIARKAN AKU MERINDU oleh Lily Suriani terbitan Grup Buku Karangkraf Sdn Bhd.


Telefon 03-22825445 dan jadi pemanggil pertama dan kedua untuk anda memenangi kesemua buku yang diketengahkan pada hari ini, dan berikan kata laluannya ...............


"Amalkan budaya membaca, Sehari sebuah buku"


Prebiu Buku disediakan oleh Am, Pelatih UiTM dan diterbitkan oleh Juliyana Hussain






No comments:

Post a Comment