Wednesday, November 23, 2011

Zon Ulat Buku 28 November 2011

Tajuk Buku : DOA & PENAWAR
Penulis : Ustaz Mohd Kazim Elias Al Hafiz & Pengarang Al Barakah
Penerbit : Inteam Publishing

Salam 1 Malaysia. Zon Ulat Buku edisi 29 November hari ini mengetengahkan dua lagi buku baharu, istimewa sempena kedatangan tahun baharu hijrah. Setiap penyakit insyaallah ada penawarnya. Selain usaha menerusi perubatan moden, buku pertama hari ini, DOA & PENAWAR oleh Ustaz Mohd Kazim Elias Al Hafiz bersama sidang pengarang Al Barakah terbitan Inteam Publishing. Cara rawatan yang terdapat di dalam buku ini merupakan himpunan atau koleksi ilmu perubatan Islam yang dipetik menerusi Al-Quran, hadis sahih oleh pakar perubatan Islam moden dan terdahulu.

Buku yang tampil dengan saiz kompak dan mudah dibawa ini mengetengahkan pelbagai teknik rawatan menarik seperti berubat menggunakan inai, habbatus sauda, madu lebah dan celak serta 23 doa untuk dipraktikkan anaranya doa memulihkan penglihatan, untuk mendapat anak, untuk anak mendengar cakap, doa memohon pemeliharaan dari gangguan syaitan dan banyak lagi. Juga ketahui mengenai Bismillah lima, ubat demam yang tiada kebah, sebab-sebab doa tidak diterima Allah dan banyak lagi.

Ketahui dan amalkan ilmu berguna yang bakal anda peroleh menerusi buku DOA & PENAWAR oleh Ustaz Mohd Kazim Elias Al Hafiz bersama sidang pengarang Al Barakah terbitan Inteam Publishing ini.

Tajuk Buku : SOALAN BOCOR DARI KUBUR
Penulis : Prof Madya Rasid Muhamad
Penerbit : Karya Bestari - Grup Buku Karangkraf

Buku kedua bakal memberikan dimensi berbeza, menghayati erti kematian. Sesuai dengan erti sebuah penghijrahan ke rah yang lebih baik, buku SOALAN BOCOR DARI KUBUR oleh Prof. Madya Rasid Muhamad terbitan Karya Bestari - Grup Buku Karangkraf.

Kematian telah direncanakan, namun tiada seorang pun mengetahui bila dan di mana ajal akan berakhir.Tika sampai masanya, tidak sesaat pun terlewat. Lisan tidak perlu berbicara, hanya amalan penentu di sana. Buku ini bakal mengupas setiap persoalan yang akan ditanya oleh Malaikat Munkar dan Nakir di alam barzakh nanti. Meniti saat kematian, jenazah dikebumikan, talkin dibacakan dan mengingatkan kita hakikat sebuah kematian . Di dalamnya jugalah terselit soalan bocor berkaitan Allah, kenabian, Islam, kiblat, Al-Quran dan persaudaraan.

Ketahui pelbagai pengisian menarik menerusi buku ini antaranya mengenai soalan-soalan yang bakal ditanyakan di alam kubur, bekalan untuk akhirat yang selamat, amalan berterusan setelah kematian, detik sakaratulmaut dan impian Husnul Khatimah.

Semuanya menerusi buku buku SOALAN BOCOR DARI KUBUR oleh Prof. Madya Rasid Muhamad terbitan Karya Bestari - Grup Buku Karangkraf.

Telefon 03-22825445 dan jadi pemanggil pertama dan kedua terpantas dan berikan kata laluan untuk anda memenangi kedua-dua buah buku yang diketengahkan minggu ini.

"Amalkan budaya membaca, sehari sebuah buku.. lebih lagi bagus.. Salam Maal Hijrah"

- Zon Ulat Buku disediakan dan diterbitkan oleh Julia. Dapatkan kata laluan pada 29 November 2011 jam 12.30tgh.

No comments:

Post a Comment