Sunday, July 18, 2010

Prebiu Buku 20 Julai 2010

Tajuk Buku : KUTEMUI CINTA
Penulis : Nuraqilah Syuhaida
Terbitan : Buku Prima
Muka Surat : 572

Prebiu Buku @ Klfm edisi Selasa hari ini. Sepanjang bulan Julai dan Ogos, Prebiu Buku bersiaran setiap Isnin dan Selasa jam 12.30 tengah hari.

Buku pertama hari ini merupakan buah tangan sulung penulis remaja, Nuraqilah Syuhaida. Novel KUTEMUI CINTA terbitan Buku Prima. Mengisahkan Adam yang sering memperdaya gadis-gadis demi melepaskan tekanannya terhadap keluarga. Dalam diam-diam, hati lelakinya dicuri gadis bernama Nadya. Hubungan Nadya dan Hafiz tidak disenangi Adam menyebabkan dia memusuhi Hafiz dan menjadi seorang pendendam.

Pemergian Hafiz memberi kesedaran kepada Adam namun dia tidak pernah berputus asa merebut hati Nadya. Ketika itu muncullah Rafi yang turut menyimpan perasaan terhadap Nadya. Siapakah jejaka yang bertakhta di hati Nadya? Adam atau Rafi?
Ketahui kesudahannya menerusi novel KUTEMUI CINTA oleh Nuraqilah Syuhaida terbitan Buku Prima.


Tajuk Buku : AKU MAHU SUPERBIBIK
Penulis : Ain Maisarah & Izanor Sharif
Terbitan : PTS One
Muka Surat : 340


Buku kedua hari ini, novel AKU MAHU SUPERBIBIK, oleh Ain Maisarah dan Izanor Sharif terbitan PTS One. Tinggi melambung permintaannya. Mesti pandai menggubah bunga, membaiki paip, fasih berbahasa inggeris, mahir menjahit dan mempunyai lesen memandu! Itulah impian Shazarin. Hansratya ingin memiliki seorang bibik atau pembantu rumah yang sempurna. Demi mencapainya, dia sanggup melakukan temu ramah bagaikan mencari bintang realiti tv. Hanya yang benar-benar layak akan diambil bekerja!

Demam pencarian bibik juga tersampuk kepada kumpulan The Wannababes. Tambah lagi, Shasha kini mempunyai tiga bibik secara serentak. Itu membuatkan Fasharina binti Tan Sri Hisham, Ketua The Wannababes rasa tercabar. Fasha yang punya dua bibik bertekad menyamai kehebatan Shasha! Fasha perlu mempunyai tiga bibik juga! Katanya, itulah tren terkini orang kaya-kaya!

Apakah kesudahan pencarian bibik oleh Ina dan Fasha? Ketahui kesudahannya dalam novel AKU MAHU SUPERBIBIK oleh Ain Maisarah dan Izanor Sharif terbitan PTS One. Pasti menggeletek hati anda.


Tajuk Buku : DENYUT KASIH MEDIK
Penulis : Dr Farhan Hadi
Terbitan : Telaga Biru
Muka Surat : 390

Novel DENYUT KASIH MEDIK oleh Dr. Farhan Hadi terbitan Telaga Biru merupakan sebuah kisah benar perjuangan seorang doktor muda mengaplikasikan syariat di hospital ketika bergelar doktor pelatih. Turut mengetengahkan kisah masyarakat dan menyentuh isu-isu perubatan dalam kehidupan masyarakat. Bukan itu sahaja, Novel Denyut Kasih Medik turut menyorot kisah seorang pemuda yang hidupnya sarat impian dan cita-cita. Lebih menarik, ia bukan hanya menyentuh fiqah perubatan bahkan turut menyelitkan fiqah wanita dan fiqah cinta. Nikmatilah satu kisah indah yang sungguh membina, DENYUT KASIH MEDIK oleh Dr. Farhan Hadi terbitan Telaga Biru.


Untuk memenangi ketiga-tiga buku ini:


Telefon 03-2282 5445. Jadi pemanggil pertama dan kedua selepas Prebiu Buku @ KLfm edisi Selasa jam 12.30 tengah hari dan berikan kata laluannya.


"AMALKAN BUDAYA MEMBACA, SEHARI SEBUAH BUKU"


Prebiu Buku @ KLfm diterbitkan oleh Juliyana Hussain / Dj Julia

*Untuk mendapatkan kata laluan, dengarkan di Prebiu Buku @ KLfm Selasa 20 Julai 2010 jam 12.30 tengah hari.

No comments:

Post a Comment