Monday, July 26, 2010

Prebiu Buku 27 Julai 2010


Tajuk Buku : BUKAN SALAHKU

Penulis : Liza Nur
Terbitan : Buku Prima
Muka Surat : 556


Kembali dalam Prebiu Buku @ KLfm Edisi Selasa. Buku pertama, sebuah novel karya Liza Nur bertajuk BUKAN SALAHKU terbitan Buku Prima. Mengisahkan Asyiqeen atau Ash dipaksa menjaga adiknya yang kurang upaya sejak berusia 10 tahun, selepas ibunya meninggal. Dia telah lama hilang dalam terang. Tapi bukan itu pintanya. Dek kerana dendam kesumat dalam diri Mak Tok, Ash yang ditinggalkan dalam jagaannya diseksa.

Mak Tok yang bekerja sebagai tukang tilik nasib tidak pernah memberi didikan agama yang secukupnya buat Ash, membuat dia meraba sendiri mencari identiti agama dan budayanya. Ash menerima biasiswa untuk menyambung pengajiannya ke Sydney. Di sana dia bertemu dengan Ashraf Ivan Obaydin, lelaki angkuh yang tidak percaya pada kewujudan agama dan adat resam. Berita mengenai kematian kawan baiknya, Zahra Ruwaida memaksa Ash pulang ke Malaysia untuk menjaga anak Zahra, Adib Farhan. Rasa bersalah pada arwah ibunya, Melissa memaksa Ivan menjejakkan kaki ke bumi Malaysia.

Di Malaysia, Ivan mengalami evolusi untuk mematangkan fikiran. Dia diperkenalkan oleh Pak Long dengan dua musuh ketatnya selama ini, agama dan adat resam. Dari Shakespeare dia disuruh membaca Malim Deman. Dari majalah Playboy, dia diajak mengenali Al-Quran. Mampukah Asyiqeen berdepan dengan masa silamnya? Mampukah Ivan mendalami agama dan budaya arwah ibunya, Melissa yang selama ini dibenci? Ikuti kesudahannya menerusi novel karya Liza Nur bertajuk BUKAN SALAHKU terbitan Buku Prima.


Tajuk Buku : KISAH SI PUTERI - RIANG RIA DUNIA PERSAHABATAN
Terbitan : PTS One
Muka Surat : 144


Buku kedua hari ini, Kisah Si Puteri - RIANG RIA PERSAHABATAN susunan Naddatun Nisaak Othman terbitan PTS One. Mengisahkan lima orang puteri iaitu Puteri Arabella, Puteri Dian Adelia, Puteri Farisya, Puteri Qaira dan Puteri Humaira.

Puteri Arabella, puteri yang terpaksa bertukar ke sekolah biasa atas arahan Ayahanda dan Bondanya. Dia terpaksa mengharungi hidup berkawan dan berhadapan dengan pelbagai ragam pelajar sekolah itu. Puteri Dian Adelia, tidak disukai rakan-rakan lain kerana perangainya yang pelik. Namun, kemunculan rakan baharu membuatkan Dian Adelia tidak kesunyian lagi.

Puteri Farisya pula suka berdamping dengan rakan-rakan baharunya. Sanggup menempuh hidup di dunia luar dari istana semata-mata mahu mengecapi nikmatnya berkawan. Puteri Qaira, bermasalah dalam berkomunikasi di hadapan pelajar lain. Ujian demi ujian yang datang akhirnya Qaira berjaya melakukan yang terbaik. Puteri Humaira, mempunyai rakan-rakan tumbuhan yang menjadi teman hidupnya.

Kisah Puteri - Riang Ria Persahabatan kali ini turut menyelitkan pelbagai permainan menarik antaranya permainan ejaan sfera, mencari perkataan tersembunyi selain tips 10K dalam persahabatan.

Bertemakan persahabatan dan penerapan nilai-nilai murni yang tinggi, buku ini sangat sesuai dijadikan bahan bacaan kanak-kanak demi membina minda positif.

Tajuk Buku : TERASING
Penulis : Hilal Asyraf
Terbitan : Telaga Biru
Muka Surat : 313


Buku terakhir hari ini, novel hasil karya Hilal Asyraf bertajuk TERASING terbitan Telaga Biru. 11 tahun terpisah dengan sahabatnya yang bernama Zaman, Saifullah bermimpi akan janji mereka berdua sebelum berpisah. Janji yang tidak pernah dilupakannya, dan saban hari diingati. Namun mimpi itu datang berkali-kali seakan menyatakan bahawa dia belum menunaikan amanahnya. Satu hari, Zaman kembali secara tiba-tiba. Saifullah amat gembira. Tetapi, bukan hanya kebahagiaan sahaja yang ada di dalam dunia ini. Tanpa disangka-sangka, satu percubaan membunuh telah dilakukan ke atas Saifullah. Hal ini mengheret dirinya ke kancah jenayah kongsi gelap. Hairan kerana merasakan diri Saifullah tiada kaitan, Amiri, abang ipar Saifullah bergerak melakukan siasatan. Rupa-rupanya, keterasingan dalam kehidupan seorang insan, mengheret manusia-manusia yang berhubungan dengannya ke arah kegelapan. Ukhuwah, cinta, kasih sayang, prinsip, matlamat, segalanya teruji dengan keterasingan ini. Bagaimana Saifullah melaluinya? Ketahui kesudahannya dalam TERASING oleh Hilal Asyraf terbitan Telaga Biru.

Untuk memenangi ketiga-tiga buku ini:


Telefon 03-2282 5445. Jadi pemanggil pertama dan kedua selepas Prebiu Buku @ KLfm edisi Selasa jam 12.30 tengah hari dan berikan kata laluannya.


"AMALKAN BUDAYA MEMBACA, SEHARI SEBUAH BUKU"


Prebiu Buku @ KLfm diterbitkan oleh Juliyana Hussain / Dj Julia

*Untuk mendapatkan kata laluan, dengarkan di Prebiu Buku @ KLfm Selasa 27 Julai 2010 jam 12.30 tengah hari.

No comments:

Post a Comment