Sunday, February 14, 2010

PREBIU BUKU 17 FEB 2010


Tajuk Buku : TIADA YANG KEDUA
Penulis : Sania Yasmin
Terbitan : Alaf 21
Muka Surat : 455



Kembali lagi dalam Prebiu Buku @ KLfm Edisi Khas Februari pada hari ini. Bagi kaki buku, pastinya ternanti-nanti buku apakah yang bakal diketengahkan pada hari ini. Buku pertama minggu ini merupakan novel tulisan Sania Yasmin bertajuk Tiada Yang Kedua terbitan Alaf 21.

Hati mana yang tidak bahagia saat disatukan. Begitu juga dengan Nur Shahirah Batrisya yang bakal diijabkabulkan dengan jejaka pilihan keluarga. Namun malam pengantin yang sepatutnya indah menjadi mimpi paling ngeri dan tak terjangka. Satu persatu kepahitan dan kesakitan terpaksa ditelan.

Tanpa belas Imran mengakui hatinya telah dimiliki dan membuat perjanjian tanpa relanya. Selepas dua tahun, ikatan perkahwinan mereka terpaksa dinoktahkan. Tanpa pengetahuan sesiapa, Shira menghilangkan diri kerana lebih rela pergi daripada mendengar lafaz perpisahan daripada Imran. Apakah kesudahan kisah Shira yang walang? Ketahuinya menerusi Tiada Yang Kedua, oleh Sania Yasmin terbitan Alaf 21.


Tajuk Buku : MUM 2 MUM
Penulis : Azza Pawanchik
Terbitan : Buku Prima
Muka Surat : 160




Buku kedua minggu ini cukup sesuai buat ibu-ibu baru atau mereka yang bakal menimang cahayamata. Buah tangan daripada Azza Pawanchik ini bertajuk Mum To Mum terbitan Buku Prima dalam bahasa inggeris. Panduan lengkap ini meliputi info berguna mengenai perkembangan fizikal, sosial, emosi dan mental anak, keperluan bayi, penyusuan, mandian sehinggalah kepada pemilihan pakaian yang sesuai untuk bayi. Turut menyelitkan pelbagai tips berguna khusus untuk panduan bakal ibu selain catatan perkembangan bayi anda dalam buku ini. Mum To Mum.. buah tangan terbaharu Azza Pawanchik terbiitan Buku Prima,Menarik, informatif dan harus dimiliki bakal ibu.


Tajuk Buku : BAHAGIAKAN HATIMU
Penulis : Ibnu Qayyim Al-Jauziyah
Terbitan : PTS Islamika
Muka Surat : 165



Buku ketiga minggu ini cukup sesuai bagi anda yang sedang mencari erti kebahagiaan. Kebahagiaan hakiki bukanlah terletak pada kemewahan harta benda tetapi bertitik tolak daripada hati yang sejahtera.

Buku bertajuk Bahagiakan Hatimu oleh Ibnu Qayyim Al-Jauziyah terbitan PTS Islamika ini memberikan panduan bagaimana untuk membahagiakan hati dan memperoleh jiwa yang tenang. Hati yang tenang mampu menyerlakan pesona diri.

Antara kupasan menarik dalam buku ini termasuklah mengenali penyakit hati, tanda-tanda hati yang kotor, mencari penawar penyakit hati dan banyak lagi. Semuanya menerusi buku Bahagiakan Hatimu oleh Ibnu Qayyim Al-Jauziyah terbitan PTS Islamika.

Bagi anda yang ingin mendapatkan ketiga-tiga buku ini, jadilah pemanggil kedua dan ketiga dalam Prebiu Buku @ KLfm dengan kata laluan yang betul.

'Amalkan Budaya Membaca, Sehari Sebuah Buku'

No comments:

Post a Comment